Wednesday, December 22, 2010

     Tidak kira betapa tinggi ilmu milik seseorang, atau betapa moden hidup individu tertentu untuk menafikan kewujudan sihir ataupun kewujudan makhluk-makhluk halus, sihir tetap wujud, malah ia merupakan amalan tradisi yang hampir sama usianya dengan kewujudan manusia.

     Manusia melibatkan diri dengan jin mempunyai motif tertentu, termasuk untuk membinasa atau merosakkan orang lain. Gangguan sebenar berlaku adalah akibat adanya jin-jin yang biasanya terdiri daripada iblis dan syaitan.

     Sihir melibatkan jin-jin yang terdiri daripada iblis dan syaitan. Tanpa penglibatan makhluk ini, manusia tidak berupaya melakukan sihir. Amalan ini adalah tidak berpenghujung, dan akan terus berlaku selagi makhluk yang terlibat dengan amalan ini wujud. Umur makhluk ini lebih panjang daripada umur manusia, yang biasanya antara enam puluh hingga tujuh puluh tahun. Iblis ini pernah meminta kepada Allah agar ia  (dan keturunannya) dipanjangkan umurnya, tidak mati sehinggalah hari kebangkitan kelak (al-A’raf:14-15, al-Hijr:36 dan Sad:79). Allah s.w.t. memperkenankan permohonan tersebut, iaitu sehingga tiupan pertama tanda permulaan hari kiamat (al-Hijr:37-38).